2016-retro-casual-men-footwear-kasut-lelaki-ab875-moresales-1603-17-moresales@13

Rezeki Conteng Kasut

 

SUMBER IMEJ

Shah Alam: Bermula daripada mengubahsuai kasut terpakai milik isteri dengan ‘menconteng’ atau melukisnya, pereka grafik sambilan, Afzainizam Mahmad, 34, bukan saja sudah menghasilkan lebih 4,000 kasut melalui syarikatnya, ContengKasot sejak empat tahun lalu, malah pernah menconteng kasut untuk pengeluar kasut dari Amerika Syarikat, Tom’s dan pengeluar selipar jenama Fipper yang mempunyai cawangan di seluruh negara termasuk Malaysia.

Afzainizam berkata, lukisan pada kasut terutama jenis kanvas yang dihasilkannya turut menarik perhatian pelanggan persendirian dari luar negara seperti Indonesia, Thailand, Singapura dan Norway.

Katanya, dia mula mencuba melukis pada kasut apabila melihat banyak kasut terpakai milik isterinya kelihatan buruk.

“Isteri memang gemar kasut dan banyak kasut dia sudah buruk menyebabkan dia tak mahu pakai.

TJ

“Sayang jika mahu buang, saya olah semula dengan menghasilkan lukisan bermotifkan bunga dan haiwan seperti rama-rama bagi menjadikan kasut itu menarik serta lebih feminin,” katanya yang juga graduan Diploma Grafik Komputer.

Menurutnya, dia tidak menyangka hasil kerja tangannya itu bukan saja digemari isterinya, malah menerima pujian daripada rakan sepejabat isterinya.

“Dari situ, saya menerima tempahan daripada rakan isteri menyebabkan saya membuka laman Instagram dan Facebook khas untuk syarikat saya, ContengKasot sejak 2014,” kata yang gemar melukis sejak tadika.

Afzainizam berkata, menerusi promosi secara dalam talian, dia menerima lebih 40 tempahan setiap bulan.

“Melalui jualan dalam talian, ramai yang tempah termasuk pelanggan dari luar negara.

“Paling jauh saya pernah pos ke Oslo, Norway, walaupun saya beritahu kos untuk penghantaran melebihi harga kasut, pelanggan itu tidak kisah kerana mendakwa di negaranya tiada seni seperti itu,” katanya.

banner malaysiakini

Menurutnya, lukisan jenis potret adalah hasil karya yang paling mencabar untuk dihasilkan.

“Saya lukis bentuk bujur bagi menampakkan impak tiga dimensi. Justeru, jika mahu menghasilkan potret, ia memerlukan daya imiginasi yang tinggi bagi mendapatkan lukisan yang seakan-akan sama dengan wajah sebenar,” katanya yang pernah membuat penampilan ketika Kuala Lumpur Fashion Week 2016.

Menurut Afzainizam, dia pernah menghasilkan contengan untuk kasut sekecil saiz empat dan harga kasut dan lukisannya bermula daripada RM70 hingga RM250.

Afzainizam berkata, dia pernah bekerjasama dengan syarikat antarabangsa bagi menghasilkan contengan pada kasut yang menarik untuk dijual di pasaran antarabangsa.

SUMBER IMEJ

SUMBER: Mymetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *