a

Lelaki Ini Kongsi 6 Cara Mulakan Perniagaan Walaupun Tiada Duit

Biasanya, ramai yang percaya bahawa nak mula buat apapun, sekecil manapun, apa saja jenis perniagaan, perlu ada modal.

Atas sebab itulah, maka ramai yang berikan alasan tak ada duit modal, menyebabkan dia masih tidak mulakan perniagaan sampai sekarang.

Memang betul, nak buat apapun perlu ada duit. Namun begitu, ada kalanya anda boleh juga memulakan perniagaan tanpa ada duit sebagai modal awal.

Berikut ada 6 cara untuk mulakan perniagaan walaupun anda tak ada duit.

 

Kekal makan gaji, mulakan perniagaan secara part-time

Ini cara yang paling mudah dan selamat untuk mula jalankan perniagaan dalam keadaan tak ada duit.

Anda tak perlu berhenti kerja dan berikan tumpuan penuh untuk perniagaan yang nak dijalankan. Buat saja terlebih dahulu secara part-time.

Dengan gaji yang anda dapat untuk sara kehidupan dan keperluan yang lain, termasuklah sedikit perbelanjaan untuk menjayakan idea bisnes, boleh didapati dari gaji yang anda dapat setiap bulan.

Anda juga tak perlu buat pinjaman yang banyak dan kemudiannya tertekan untuk mendapatkan pulangan secepat mungkin bagi membayar semula hutang yang dah dihimpun.

Dalam zaman komunikasi serba canggih ini, kemudahan untuk mulakan perniagaan tanpa perlu berhenti kerja adalah sesuatu yang boleh dan mudah dilaksanakan.

Asalkan anda boleh bahagikan masa dan tidak lari dari tanggung jawab yang diberikan dalam kerja makan gaji, tidak ada apa yang perlu dirisaukan.

Ambil masa bina perniagaan perlahan-lahan. Yang pentingnya tak perlu buat pinjaman. Akan tiba satu masa, perniagaan anda akan membesar dan berupaya menanggung anda untuk berhenti kerja dan berikan tumpuan pada bisnes secara sepenuh masa.

 

Buat bisnes servis berdasarkan kemahiran yang ada

Fikirkan apa kemahiran peribadi yang anda ada. Jenis kemahiran yang boleh membantu orang lain yang memerlukannya.

Ada banyak kemahiran yang ada permintaan dalam pasaran. Biasanya ia berkait rapat dengan aktiviti perkhidmatan dan bukannya produk fizikal.

Mungkin anda ada kemahiran menguruskan akaun perniagaan. Banyak syarikat kecil yang tak mampu gajikan pekerja tetap untuk urusan kemas kini maklumat kewangan perniagaan mereka.

Syarikat sebegitu amat memerlukan kemahiran yang anda ada. Paling mudah lagi jika syarikat tersebut merupakan kepunyaan seorang kawan yang anda kenal.

Yang pentingnya, anda ada kemahiran hasil dari pengalaman yang ada sebelum ini yang membuatkan anda lebih cekap berbanding orang lain.

Cuba fikirkan satu kemahiran yang dah ada dalam diri dan fikirkan siapa yang memerlukan kemahiran itu sekarang. Jika ada, anda boleh segera mulakan perniagaan tersebut.

 

Mula jual barang yang anda tak guna

Image result for barang terpakai

Sumber imej

Mungkin anda masih tak dapat kenal pasti apa kemahiran yang ada yang boleh ditawarkan pada orang lain. Tak apa, masih ada satu cara mudah untuk mulakan perniagaan.

Cuba lihat sekeliling rumah barang-barang yang masih boleh digunakan tapi anda dah tak perlu. Kumpulkan semua brang tersebut.

Pergi lihat juga jenis barang-barang yang sama di rumah ibu bapa, rumah saudara dan kalau anda memang baik dengan para jiran, lihat juga di rumah mereka.

Atau anda boleh war-warkan pada semua kawan, jiran dan satu kampung anda sanggup pergi kutip semua barangan yang mereka tak perlukan dan nak buang.

Ambil kesemua barang tersebut dan mula cari pelanggan yang sanggup membelinya. Untuk pastikan lepas ini orang akan cari anda setiap kali ada barang yang nak dibuang, berikan sedikit ganjaran pada pemilik asalnya setelah barangnya berjaya dijual.

 

Buat pertukaran barang atau servis

Mungkin anda nak mulakan satu bisnes yang memerlukan peralatan mula. Nak beli tak modal duit pula. Jangan risau.

Buat konsep pertukarang barang atau servis. Cari peralatan atau barang yang anda perlu untuk mulakan bisnes tersebut, tawarkan apa-apa barangan atau servis yang pemiliknya perlukan.

Contohnya, mungkin anda perlukan mesin mesin potong rumput nak mula khidmat potong rumput. Tentu ada orang yang memiliki mesin tersebut dan jarang gunakannya. Biasanya rumah jiran anda yang agak berada dan umur mereka dah lanjut.

Pergi tawarkan khidmat potong rumput sekeliling rumah mereka sampai bersih secara percuma dengan menggunakan mesin mereka. Tawarkan anda akan buat kerja itu secara percuma setiap bulan. Pertukarannya adalah anda akan simpan dan gunakan mesin potong rumput mereka.

 

Cari pelabur

Macam yang saya kata masa mula tadi kat atas. Anda nak buat satu perniagaan yang memang perlukan modal duit.

Dalam kes ini, pergi cari pelabur. Pastikan mereka sanggup melabur untuk idea bisnes anda itu. Buat persediaan yang mantap untuk persembahkan idea perniagaan anda sampai mereka rasa rugi kalau tak melabur.

 

logo TJ (1)

 

Minta dari orang yang anda rapat

Kalau pelabur tak ada, masih ada lagi cara lain. Sama juga anda masih perlukan duit dari poket orang lain. Pergi cari orang yang anda kenal rapat. Kawan atau saudara mara.

Saya nasihatkan anda ambil cara ini sebagai jalan paling terakhir. Sebab ia mengundang banyak keburukan dari kebaikan. Orang yang anda kenal rapat seperti saudara mara akan berikan anda duit bukan atas keyakinan idea perniagaan anda.

Mereka berikan lebih atas dasar kesian dan tak sanggup nak kecilkan hati anda. Sebab itu saya tak suka sangat cara ini.

Tapi jika anda memang betul-betul yakin dengan idea bisnes, dan tak ada lagi cara lain yang boleh dapatkan duit, mintalah pada mereka.

Pastikan samada bisnes anda berjaya atau gagal, anda berjanji akan bayar juga semua pinjaman tersebut dengan apa cara sekalipun. Bertanggung jawab dan jangan lari dari hutang.

 

Kesimpulannya, mungkin ada banyak lagi cara lain yang orang dah berikan. Dan anda sendiri pun tahu. Tapi semuanya tak guna kalau anda masih tak bergerak.

Tak guna tahu seribu satu cara mulakan bisnes tanpa modal, jika satupun anda tak mencubanya.

Pesanan akhir, jangan pinjam duit along. Jangan juga guna duit kad kredit. Kosnya amat tinggi dan hidup anda mungkin akan rosak disebabkan itu.

 

Selamat mencuba

 

 

Sumber: Blog Hidup Ringkas

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *